Bernama
'Main Puteri' dipentaskan di Festival De I'Imaginaire, Paris pada 7 Jun
Pengasas PUSAKA Eddin Khoo (kanan) ketika sidang media:PUSAKA Membawa Main Puteri Kelantan ke Festival de l'Imaginaire, Paris di Universiti Malaya hari ini. - fotoBERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Seni persembahan tradisional dari Kelantan, Main Puteri atau Main Teri akan mengadakan pementasan di Festival de I'Imaginaire di Paris, Perancis pada 7 Jun ini.
Persembahan yang akan berlangsung di Theatre de I'Alliance Francaise, Paris itu dibawakan sebuah pertubuhan pelestarian seni budaya warisan Malaysia iaitu PUSAKA selepas menerima undangan pertubuhan Maison des Cultures du Monde.
 
Pengasas PUSAKA, Eddin Khoo berkata persembahan itu menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan lagi bakat seniman dalam bidang kebudayaan dan kesenian di persada antarabangsa.
 
"Ini adalah kali kedua kami (PUSAKA) dijemput untuk membuat persembahan di sana selepas kejayaan persembahan seni tradisional Makyong, Menora dan Wayang Kulit pada 2007.
"Kami berbangga dan berbesar hati diberi peluang untuk mementaskan Main Puteri dalam satu festival yang terkemuka dalam usaha mengangkat martabat dan memperkasakan seni tradisional (tanah air) di luar negara," katanya dalam sidang media mengenai program berkenaan, di sini hari ini.
 
Festival de I'Imaginaire, diasaskan pada 1997 oleh Maison des Cultures du Monde, menawarkan pentas kepada rakyat dan tamadun dunia kontemporari dan bentuk ekspresi yang langka dan luar biasa, menyumbang kepada dialog antara tamadun, kerjasama antarabangsa dan memelihara kepelbagaian budaya.
 
Eddin berkata program itu akan menampilkan adiguru seni Main Puteri iaitu Che Mohd Zailani Che Moh atau terkenal dengan gelaran Pok Mat Jedok, Mohd Noor Arifin (Pok Jue) dan Ahmad Shaifuldin Jusoh (Din Puteri) serta barisan pemuzik bakat muda dari Kelantan seperti Kimi Anak Limbat (pemain rebab), Syakil Yusof (pemain serunai) dan Alang Rebanamas (pemain gendang).
 
"Setiap adiguru ini mempunyai gaya persembahan yang berbeza melalui pendekatan masing-masing, yang pastinya akan menarik minat penonton," katanya dan menambah program itu turut mendapat sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan MyCreative Ventures.
 
Pada masa sama, Eddin berkata PUSAKA dan Asia Society France berkolaborasi dengan Kedutaan Besar Malaysia bagi menganjurkan program Temu Budaya: A Cultural Soiree di Rumah Malaysia, Paris pada 8 Jun.
"Program bual bicara ini akan menampilkan pemuzik tradisional dan penggiat Silat Jawi Kelantan (untuk) mempromosikan dan melestarikan warisan tidak ketara di Malaysia serta bakal dirasmikan Duta Besar Malaysia di Paris, Datuk Mohd Zamruni Khalid," katanya.
 
 
 
 
Beliau berkata PUSAKA juga akan mendokumentasikan program berkenaan dalam bentuk audio visual yang akan disunting menjadi sebuah filem pendek untuk siaran awam.
"Rakaman itu akan merangkumi latihan di Kelantan, perjalanan ke Paris, persembahan di Festival de I'Imaginaire dan bual bicara di Temu Budaya serta aktiviti di sebalik tabir," katanya.
 
-- BERNAMA
 
https://www.astroawani.com/berita-bisnes/main-puteri-dipentaskan-di-festival-de-iimaginaire-paris-pada-7-jun-422225
 

Hakcipta Terpelihara @ 2024 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara
Paparan terbaik menggunakan Chrome versi 124.0 ke atas & Firefox 120.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768

  • Web Traffic:
  • 2.png1.png6.png6.png5.png0.png1.png
  • Hari Ini: 2224
  • |
  • Semalam: 3308
  • |
  • Minggu Ini: 21166
  • |
  • Bulan Ini: 48869
  • |
  • Jumlah: 2166501